Sunday, March 8, 2009

Taman negara Mulu

Taman Negara Gunung Mulu merupakan ikon dan produk pelancongan yang perlu dibanggakan oleh rakyat Sarawak kerana berkemampuan tinggi menjana industri pelancongan negeri ini.

Menteri Pembangunan Bandar dan Pelancongan Datuk Michael Manyin Jawong memberitahu dalam berdepan krisis kewangan global dan persaingan yang sengit, Mulu yang juga antara Tapak Warisan Dunia mempunyai tarikan dan keunikan tersendiri yang boleh menarik pelancong asing ke Sarawak.

“Kita perlu jadikan Mulu ikon kepada Sarawak. Mulu merupakan produk utama negara kita. Tiada negara lain di dunia yang menawarkan produk seperti Mulu,” katanya semasa merasmikan Yayasan Seni Mulu Warisan Dunia di Bintang Megamall di sini petang semalam.

Menurut Manyin, Mulu telah mempunyai pakej lengkap seperti penginapan, restoran dan pengangkutan yang boleh dijual kepada pelancong.

Pakej ini boleh memperkenalkan bandar raya Miri yang merupakan pintu masuk utama ke Mulu walaupun Miri mempunyai tarikan lain seperti Taman Negara Niah, Taman Negara Bukit Lambir dan Taman Negara Loagan Bunut.

Mengulas tentang cabaran industri pelancongan sekarang, Manyin memberitahu, kejayaan amat bergantung kepada kerjasama semua pihak merangkumi penduduk, pengusaha hotel, pengusaha restoran, pemandu teksi dan ejen pelancongan.

Selain itu, aspek keselamatan juga perlu diutamakan untuk memastikan pelancong terus datang ke negeri ini.

“Kita tidak mahu pelancong kita diragut atau dirompak ketika berada di tempat kita. Kita mahu mereka berasa selamat. Itu yang penting. Kita perlu perkuatkan kempen keselamatan kita. Ini adalah tanggungjawab kita semua,” tegas Manyin.

Selain itu, produk pelancongan terkini dan penganjuran aktiviti bertaraf antarabangsa penting untuk menarik penyertaan pelancong tempatan dan asing.

Mengulas tentang pelancongan Miri, Manyin memberitahu, perbincangan dengan syarikat penerbangan tambang murah seperti Air Asia, Jet Star dan Tiger Air akan dilanjutkan untuk memperkenalkan penerbangan terus Miri-Singapura.

Selain itu, tarikan Miri seperti pusat membeli belah, pusat riadah dan aktiviti perlu diperhebatkan untuk menarik kunjungan pelancong dari negara Brunei Darussalam pada setiap hujung minggu.

Tentang projek Yayasan Seni Mulu Warisan Dunia, ianya membantu mempromosikan kesedaran dan kepentingan tapak-tapak khazanah dunia menerusi hasil seni yang dihasilkan oleh artis-artis profesional dan amatur.

Dalam pada itu, Marie Sella Penny Wahid dan Asley Kallang masing-masing dari SK St Columba dan SMK St Columba menjuarai pertandingan lukisan bertema Mulu Warisan Dunia yang disertai 300 pelajar selama dua hari dan berakhir semalam.

Kedua mereka memenangi hadiah tiket penerbangan pergi balik Miri - Mulu, penginapan di Royal Mulu Resort, kelas seni bersama Wilson, lawatan ke gua dan berjalan di laluan kanopi.

Hadir sama ialah Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Lee Kim Shin, pemilik Bintang Megamall Dato Lau Siu Wai, Pengarah Urusan Borsamulu Dato Robert Geneid, Residen Miri Datu Ose Murang dan Datuk Bandar Lawrence Lai.Tetamu berpeluang menyaksikan pameran lukisan oleh Wilson iaitu pelukis dari New Zealand.

No comments: